Photobucket
Berita Terkini :

POLITIK

KEBAJIKAN

AGAMA

BERSIH 3.0 : SPR Tidak Perlu Rasa "Gelisah"

Thursday 5 April 2012 17:48


Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar supaya jangan panik dengan pengumuman Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) untuk menganjurkan perhimpunan aman Bersih 3.0 pada 28 April 2012. Bagi DPPM, kenyataan Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar yang menyifatkan perhimpunan ini sebagai tindakan terburu-buru menunjukkan ‘kegelisahan beliau dalam melindungi sesuatu’.

Sepatutnya, Datuk Wan Ahmad tidak perlu mengulas Himpunan Bersih 3.0 kerana itu bukan kerja beliau. Tugas utama beliau, adalah memastikan perjalanan pilihnraya berlangsung dengan adil dan bersih. Beliau tidak perlu bertindak bagi pihak Perdana Menteri atau kerajaan Malaysia. Yang perlu mengulas isu himpunan Bersih 3.0 adalah kerajaan, sama ada Perdana Menteri, menteri terbabit atau pihak polis. Kenyataan beliau menyerlahkan lagi tahap kecondongannya kepada satu pihak.

Datuk Wan Ahmad tidak perlu merasa cemas kerana himpunan Bersih 3.0 adalah perhimpunan aman. Tujuannnya adalah untuk mengingatkan kerajaan dan SPR agar berlaku adil dalam PRU ke 13. Jangan menipu, jangan menyeleweng, jangan main wayang atau ‘silap mata’. SPR jangan bimbang kerana hasil himpunan ini rakyat sendiri akan memerhati setiap pergerakan SPR mahupun kerajaan dalam PRU ke 13 dan setiap penipuan pasti akan dapat dihidu dan dibongkarkan. Ini kerana sudah banyak hints oleh banyak pihak sebagai gambaran PRU ke 13 adalah pilihanraya yang paling kotor dan rakyat tidak bersedia mendengarnya.


Justeru, jika SPR yakin tidak ada unsur penipuan selama ini apa yang hendak ditakutkan? SPR patut ucap terima kasih kerana rakyat membantu melicinkan lagi usaha SPR mahu membersihkan sistem pilihanraya. Bersih 3.0 juga membantu PSC dalam mendesak kerajaan mempercepatkan pembersihan pilihanraya. Hanya dibimbangi rakyat usul PSC tidak sempat dilaksanakan kerana Perdana Menteri membubarkan parlimen mengikut hati beliau.

Himpunan Bersih 3.0 juga adalah sebagai ‘loceng amaran’ kepada rakyat supaya bersedia menghadapai PRU ke 13 yang dijangka akan diadakan pada bila-bila masa. Himpunan Bersih 3.0 akan mengingatkan rakyat supaya mengosongkan tarikh pada 2 bulan terakhir ini (Mei dan Jun) agar jangan menyusun jadual ke luar negara. Memandangkan Perdana Menteri tidak mahu mengumumkan tarikh awal pilihanraya, rakyat hidup dalam keadaan teraba-raba. Justeru, Bersih 3.0 terpaksa diadakan bagi membina momentum rakyat menghadapi PRU 13.

Disediakan oleh;

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Pemuda PAS Gerakan Jentera Seluruh Negara Sertai Bersih 3.0

14:41

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyambut baik pengumuman Gabungan Piihanraya Bersih dan Adil (Bersih) untuk mengadakan Himpunan aman Bersih 3.0 pada 28 April 2012, jam 2 petang bertempat di Dataran Merdeka.

Bagi menyahut seruan itu, DPPM bersedia menggerakkan seluruh jentera pemuda dari negeri-negeri, kawasan dan cawangan-cawangan bagi menyertai himpunan bersih 3.0. Bahkan, DPPM akan memastikan penglibatan teramai anak-anak muda dengan sasaran seramai 100,000 anak muda akan bersedia turun ke himpunan tersebut. Sehubungan itu, DPPM akan mengadakan mesyuarat khas bagi membentuk jawatankuasa dan melantik pengerusi bertindak di setiap negeri bagi mengerah dan mempromosikan Bersih 3.0.

Bagi DPPM, semboyan himpunan Bersih 3.0 terpaksa ditiup memandangkan tiadanya usaha secara agresif oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta kerajaan Malaysia bagi membersihkan sistem pilihanraya di negara ini. Meskipun Jawatankuasa Khas Parlimen Bagi Penambahbaikan Sistem Pilihanraya di Malaysia (PSC) dibentuk, namun sehingga sekarang belum nampak sistem pilihanraya di negara ini dibersihkan keseluruhannya. Malah 8 tuntutan Bersih masih belum dilaksanakan sepenuhnya dalam keadaan negara bakal berdepan dengan PRU ke 13 bila-bila masa dari sekarang.

Pendedahan terbaru amat menggemparkan apabila YB Datuk Haji Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Pokok Sena mendakwa terdapat ‘task force’ yang yang bertanggungjawab memberi taraf kerakyatan kepada warga asing bagi membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya nanti. Ia diketuai oleh Penasihat Khas Perdana Menteri Datuk Osman Razak, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Tajuddin Wahab, dan Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar. Ini termasuk juga beberapa pegawai di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) seperti Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Datuk Jariah, Nik Norashikin Nik Mansur, Rashid Basiron, dan Shahrul Anwar Ahmad Zahidi. DPPM mencabar pihak kerajaan serta nama-nama yang disebut oleh YB Dato Mahfuz untuk membuktikan bahawa dakwaan itu salah dan tidak benar. Kerajaan juga diminta menafikan akan dakwaan tersebut.


Pendedahan ini membayangkan bahawa Perdana Menteri sendiri merestui usaha penipuan secara besar-besaran dalam PRU ke 13. Ia menjadi bukti bahawa semenangnya BN berniat tidak mahu PRU ke 13 diadakan dalam keadaan bersih dari sebarang penyelewengan.

DPPM percaya rakyat sudah muak dengan janji kosong Perdana Menteri untuk memastikan perjalanan pilihanraya bersih. Justeru, Bersih 3.0 pada 28 Aril 2012 tidak dapat dielakkan kerana inilh caranya rakyat dapat mengajar BN menghormati nilai demokrasi di negara ini yang mati.

RAJA AHMAD ISKANDAR AL HISS

Naib Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tubuh Suruhanjaya DiRaja Siasat Pengkianatan Jual Negara

Wednesday 4 April 2012 18:53

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) memandang serius kenyataan YB Datuk Haji Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Pokok Sena bahawa wujudnya ‘task force’ yang bertanggungjawab memberi taraf kerakyatan kepada warga asing bagi membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya.

Dalam satu kenyataan media hari ini, YB Datuk Haji Mahfuz mendedahkan ‘task force’ tersebut diketuai oleh Penasihat Khas Perdana Menteri Datuk Osman Razak, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Tajuddin Wahab, dan Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar. Malah beberapa pegawai di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dikatakan terlibat sama antaranya, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Datuk Jariah, Nik Norashikin Nik Mansur, Rashid Basiron, dan Shahrul Anwar Ahmad Zahidi.

DPPM berpandangan, pendedahan Datuk Haji Mahfuz Omar merupakan sesuatu yang amat serius kerana ia melibatkan integriti serta kedaulatan negara. Sekiranya rakyat asing sudah diberikan taraf kerakyatan negara ini dan seterusnya dibenarkan untuk mengundi dalam Pru ke 13, ini menandakan tahap keselamatan negara sudah berada dalam keadaan bahaya. Ini memberi gambaran bahawa bila-bila masa sahaja negara boleh dijual kepada warga asing oleh mereka yang mengkhianati amanah rakyat sebagai pemimpin kanan kerajaan.


Pendedahan ini membenarkan lagi telahan banyak pihak bahawa BN sedang merancang untuk melakukan penipuan secara besar-besaran bagi menghadapi PRU 13. DPPM merasa amat kesal kerana BN tidak bersikap ‘gentleman’ dan tidak bersedia menghadapi kenyataan dengan menerima apa juga keputusan rakyat dalam pilihanraya. BN terlalu terdesak mengekalkan kuasa meskipun ditolak oleh rakyat sehingga sanggup mengambil warga asing sebagai warga negara dan sebagai pengundi. Bahkan, BN tergamak memperkudakan agensi kerajaan bagi meraih kepentingan diri mereka dan tidak kisah sekiranya integriti agensi kerajaan seperti SPR dan JPM jatuh menjunam serta menjadi cemuhan rakyat tempatan mahupun masyarakat antarabangsa.

Oleh itu, DPPM bersetuju supaya Suruhanjaya Diraja dibentuk bagi menyiasat kenyataan Datuk Mahfuz ini. Sekiranya benar dakwaan ini, kesemua nama yang disebut perlu diseret ke muka pengadilan meskipun ia akan menjerat sama pemimpin negara. Mereka ini adalah pengkhianat negara dan tidak mungkin ada kemaafan bagi mereka. DPPM turut mendesak Perdana Menteri menangguhkan pilihanraya sehingga Suruhanjaya Diraja selesai melakukan siasatan terhadap dakwaan ini. PRU ke 13 adalah hak rakyat Malaysia yang sah, bukan hak warga asing yang diberikan taraf kerakyatan dan seterusnya diberikan peluang untuk mengundi.

Disediakan oleh;

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Bersih 3.0 pada 28 April di Dataran Merdeka

14:59

KUALA LUMPUR, 4 April: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) hari ini mengumumkan sekali lagi akan mengadakan himpunan besar-besaran Bersih 3.0 pada 28 April ini.

Ianya akan diadakan jam 2 petang bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Perkara itu dijangka diumumkan jawatan kuasa pemandu NGO itu pada satu sidang media di sini, pagi ini.

Kesemua anggota jawatankuasa termasuk pengerusi bersama Datuk A.Samad Said dan Datuk Ambiga Sreenevasan turut hadir pada sidang media di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor itu. (Gambar)

Melalui bahan cetakan yang diedar awal kepada media, himpunan kali ini memilih tema ‘Duduk Bantah’ dan bakal diadakan serentak di seluruh negara dan dunia.

Himpunan itu juga akan disertai bersama oleh 84 NGO dan masih mengekalkan lapan tuntutan iaitu:

Bersihkan senarai undi
Mereformasikan undi pos
Gunakan dakwat kekal
Akses media bebas dan adil
Masa kempen minima 21 hari
Kukuhkan institusi awam
Hentikan rasuah
Hentian politik kotor

Penari Tiang : Jamir Khir Tidak Prihatin!

Monday 2 April 2012 19:09


Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menganggap Datuk Seri Jamil Khir tidak sensitif atau prihatin terhadap masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat terutama yang membabitkan masalah umat Islam. DPPM merujuk kepada kenyataan beliau bahawa kes-kes moral tidak harus dilihat dari aspek hukuman sahaja, tetapi pada keperluan memberi kaunseling pada pesalah.

Bagi DPPM, isu yang membabitkan penari tiang terbabit bukanlah isu kecil. Mereka melakukan suatu dosa yang besar kerana mendedahkan aurat disamping mendorong umat Islam melakukan perbuatan zina dengan berkelalukan lucah. Masyarakat mempertikaikan hukuman tersebut kerana merasakan denda yang dikenakan terlalu kecil iaitu hany RM25 seorang berbanding kesalahan yang mereka lakukan.

Dalam hal ini, Datuk Seri Jamil Khir perlu ingat bahawa gejala sosial dalam masyarakat di negara ini sudah berada di tahap yang membimbangkan. Gejala pelacuran, perzinaan, anak luar nikah, bersekedudukan membawa kepada perlakuan jenayah seperti rogol, membuang bayi, membunuh dan sebagainya semakin menular dalam masyarakat. Ia didorong oleh gejala seks bebas, pergaulan bebas lelaki dan wanita, pengaruh filem, penggunaan internet tanpa kawalan, serta adanya kelab-kelab malam, pusat hiburan, rumah urut seperti itu. Lebih malang apabila yang terlibat dalam industri seks sebagai penari lucah di kelab malam ini adalah gadis Melayu beragama Islam. Soalnya, berapa ramai lagi gadis Melayu beragama Islam yang melakukan perkara yang sama masih bebas tanpa tangkapan atau dakwaan?


Sesuatu hukuman yang dikenakan adalah untuk mendidik serta sebagai pengajaran keras terhadap pesalah serta orang lain yang terlibat atau berniat melakukan kesalahan seperti mereka. Apakah pengajaran yang boleh diambil dengan hanya denda RM 25 sahaja seorang? Mampukah denda RM 25 memperi peringatan keras kepada individu lain daripada menceburi bidang yang haram ini?

Memberi kaunseling sebagai suatu aspek mendidik dan menasihati pesalah. Memberi kaunseling kepada pesalah penting, tetapi dalam masa yang sama kesalahan yang dilakukan perlu dikenakan hukuman. Hukuman pula perlulah setimpal dengan kesalahan seseorang itu. Hukuman yang setimpal juga adalah sebagai kaunseling terbaik kepada semua pihak, sama ada pesalah dan masyarakat. Kerana itulah Islam menjatuhkan hukuman bagi sesuatu kesalahan di khalayak ramai, supaya semua pihak dapat mengambil pengajaran darinya.

Ternyata Datuk Seri Jamil Khir gagal menjaga agama Islam dan umatnya di negara ini. Beliau menganggap kesalahan itu sebagai remeh dan hukumannya setimpal sedangkan umat Islam menganggap kesalahan mereka amat besar manakala hukuman terhadap mereka amat kecil. Tidak terbayang pula bagaimana pemimpin seperti ini boleh menjaga akidah umat Islam yang jauh lebih bahaya dan sedang tergugat sekarang.

Disediakan oleh;

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Hapus PTPTN : Kerajaan BN Gagal Beri Harapan Kepada Rakyat

19:04

PAS Wilayah Persekutuan (PAS WP) menganggap kerajaan UMNO-BN telah gagal menyaingi Pakatan Rakyat apabila gagal menghapuskan Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) yang membelenggu pelajar dan anak muda berbanding dengan tawaran Pakatan Rakyat untuk menghapuskannya sebaik sahaja memerintah Putrajaya kelak.

Bahkan, pemimpin BN juga menganggap jika PTPTN dihapuskan ianya akan membebankan kerajaan. Kenyataan ini menunjukkan betapa lemahnya kerajaan dalam menjaga kebajikan dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Kerajaan BN selama ini telah gagal mencari formula bagaimana pendidikan percuma peringkat tertinggi boleh ditawarkan kepada rakyat. Mereka tidak terfikir bahawa menghapuskan PTPTN tidak akan menjadikan negara bangkrap.

Sedangkan Pakatan Rakyat secara jelas memberi jaminan untuk menghapuskan PTPTN sekiranya berkuasa di Putrajaya kelak, suatu kenyataan yang amat ditunggu-tunggu oleh anak muda sekarang. Sudah tentu Pakatan rakyat tidak berjanji kosong dengan janji dan jaminan ini. Sepertimana janji Pakatan Rakyat di Selangor untuk memberikan air 20meter padu secara percuma, janji itu tertunai tanpa sedikitpun kerajaan Selangor menjadi bangkrap. Selain itu, banyak lagi janji Pakatan Rakyat seperti Skim Mesra Usia Emas, Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), Jom Shopping, Skim Rumah Pertamaku dan lain-lain lagi berjaya dilaksanakan satu demi satu.


PR juga berjanji supaya tol dihapuskan, suatu jaminan yang pasti akan melegakan rakyat terbanyak. Bagi BN, ia adalah mustahil kerana boleh menjejaskan periuk nasi segelintir elit korporat mereka yang berkepentingan. Bagi Pakatan Rakyat, ianya tidak sukar jika memandang kepada kepentingan dan keperluan rakyat yang lebih utama. Hakikatnya BN terpaksa menjilat ludah mereka sendiri apabila menghapuskan sebahagian kadar tol di lebuhraya Cheras-Kajang. Ini menandakan isu menghapuskan tol di lebuhraya bukan sesuatu yang mustahil, tetapi kerajaan mampu sekiranya mereka mahu memikirkan maslahat rakyat.

Justeru, PAS WP menganggap jaminan Pakatan Rakyat untuk menghapuskan PTPTN akan memberikan harapan baru kepada anak-anak muda setelah sekian lama mereka terjerat dengan masalah hutang pelajaran. Sejumlah sejuta pengundi muda yang ada Wilayah Persekutuan yang sebahagiannya adalah peminjam PTPTN, tidak sabar melakar perubahan dalam PRU ke 13 kerana setelah 54 tahun BN memerintah gagal menyelesaikan pelbagai masalah rakyat.


MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ
Ketua Penerangan
PAS Wilayah Persekutuan

SETEMPAT

 

© Copyright Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan 2011 -2012 | Design by Mohd Yusof Hadhari