Photobucket
Berita Terkini :
Home » » Penari Tiang : Jamir Khir Tidak Prihatin!

Penari Tiang : Jamir Khir Tidak Prihatin!

Monday 2 April 2012 19:09


Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menganggap Datuk Seri Jamil Khir tidak sensitif atau prihatin terhadap masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat terutama yang membabitkan masalah umat Islam. DPPM merujuk kepada kenyataan beliau bahawa kes-kes moral tidak harus dilihat dari aspek hukuman sahaja, tetapi pada keperluan memberi kaunseling pada pesalah.

Bagi DPPM, isu yang membabitkan penari tiang terbabit bukanlah isu kecil. Mereka melakukan suatu dosa yang besar kerana mendedahkan aurat disamping mendorong umat Islam melakukan perbuatan zina dengan berkelalukan lucah. Masyarakat mempertikaikan hukuman tersebut kerana merasakan denda yang dikenakan terlalu kecil iaitu hany RM25 seorang berbanding kesalahan yang mereka lakukan.

Dalam hal ini, Datuk Seri Jamil Khir perlu ingat bahawa gejala sosial dalam masyarakat di negara ini sudah berada di tahap yang membimbangkan. Gejala pelacuran, perzinaan, anak luar nikah, bersekedudukan membawa kepada perlakuan jenayah seperti rogol, membuang bayi, membunuh dan sebagainya semakin menular dalam masyarakat. Ia didorong oleh gejala seks bebas, pergaulan bebas lelaki dan wanita, pengaruh filem, penggunaan internet tanpa kawalan, serta adanya kelab-kelab malam, pusat hiburan, rumah urut seperti itu. Lebih malang apabila yang terlibat dalam industri seks sebagai penari lucah di kelab malam ini adalah gadis Melayu beragama Islam. Soalnya, berapa ramai lagi gadis Melayu beragama Islam yang melakukan perkara yang sama masih bebas tanpa tangkapan atau dakwaan?


Sesuatu hukuman yang dikenakan adalah untuk mendidik serta sebagai pengajaran keras terhadap pesalah serta orang lain yang terlibat atau berniat melakukan kesalahan seperti mereka. Apakah pengajaran yang boleh diambil dengan hanya denda RM 25 sahaja seorang? Mampukah denda RM 25 memperi peringatan keras kepada individu lain daripada menceburi bidang yang haram ini?

Memberi kaunseling sebagai suatu aspek mendidik dan menasihati pesalah. Memberi kaunseling kepada pesalah penting, tetapi dalam masa yang sama kesalahan yang dilakukan perlu dikenakan hukuman. Hukuman pula perlulah setimpal dengan kesalahan seseorang itu. Hukuman yang setimpal juga adalah sebagai kaunseling terbaik kepada semua pihak, sama ada pesalah dan masyarakat. Kerana itulah Islam menjatuhkan hukuman bagi sesuatu kesalahan di khalayak ramai, supaya semua pihak dapat mengambil pengajaran darinya.

Ternyata Datuk Seri Jamil Khir gagal menjaga agama Islam dan umatnya di negara ini. Beliau menganggap kesalahan itu sebagai remeh dan hukumannya setimpal sedangkan umat Islam menganggap kesalahan mereka amat besar manakala hukuman terhadap mereka amat kecil. Tidak terbayang pula bagaimana pemimpin seperti ini boleh menjaga akidah umat Islam yang jauh lebih bahaya dan sedang tergugat sekarang.

Disediakan oleh;

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

YOU MIGHT ALSO LIKE

0 comments:

Post a Comment

 

© Copyright Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan 2011 -2012 | Design by Mohd Yusof Hadhari